Total Pageviews

Friday, May 6, 2011

TANDA KEMATIAN



Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah s.a.w diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.

Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandianya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wakaf ketika Imama Ahmad bersedia untuk mengkafankan mukanya.

Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah SWT nyawa mereka ini akan terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT. Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan:

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Semua orang islam akan dapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut hingga hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seakan-akan daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat bagi mereka yang sedar dan berdetik dihati bahawa mungkin ini tanda mati maka getaran itu akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkantentang soal kematian, tanda itu akan hilang dan lenyap tanpa ada manfaat.Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri untuk dengan amalan dan urusan yang dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda  40 hari sebelum hari mati

Tanda ini akan berlaku sesudah waktu Asar.Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya keatas kita antaranya ialah ia akan mengikut kita sepanjang masa.

Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuba seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda kematian ini akan diberikan kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan dimana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan dibahagian tengah dahi kita diantara dahi kanan dan dahi kiri. Jika tanda ini dapat di kesan  maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ia akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ia dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar dimana kita akan merasakan satu denyutan sebelah belakang iaitu di  kawasan ubun-ubun di mana ia menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokkan harinya.

Tanda Akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ia akan turun ke pinggang dan seterusnya dan akan naik kebahagian halkum.

Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan Malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan dari Allah SWT ataupun dari manusia sendiri dari segi dosa dan hutang piutang kita.

Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani  bahawa tarikh mati manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa samada dari kita atau orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa semoga kita diberi hidayah dan pertunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada didunia atau pun akhirat.

Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.
















No comments:

Post a Comment